Alexander The Great (Penakluk Teragung Di Dunia) (ID: 1105575822630)
 
       Adik-adik, dalam sejarah peperangan, penaklukan, dan perluasan empayar, tiada nama lain yang dapat mengatasi kehebatan Alexander The Great.

      Ayahanda beliau, Phillip II, merupakan pemerintah terkemuka bagi kerajaan Macedonia. Ayahandanya juga merupakan seorang penakluk yang tiada tolak bandingannya. Hal ini terbukti kerana baginda berjaya menyatukan Kerajaan Macedonia dengan Yunani. Oleh sebab itu, adik-adik, tidak hairanlah jika Alexander turut mewarisi sifat kepimpinan dan keberanian seperti ayahandanya itu.

      Apabila Maharaja Phillip II mati terbunuh, Alexander menaiki takhta untuk menggantikan ayahandanya pada tahun 336 Sebelum Masihi.

      Alexander berjaya meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh ayahandanya untuk memperluas lagi empayar Macedonia. Beliau telah mengepalai gabungan tentera Macedonia dan Yunani untuk menakluk sebuah kerajaan besar, iaitu empayar Parsi.

      Kemudian Alexander berjaya pula menguasai Mesir. Ibu kota negara Mesir, Iskandariah, adalah mengambil sempena nama beliau. Seterusnya, beliau menakluk pula Turkistan dan Samarkand. Akhirnya, seluruh kawasan Laut Mediterranean telah berada di bawah kuasa taklukannya.

      Oleh yang demikian, adik-adik, tidak hairanlah jika beliau terkenal dengan gelaran 'Alexander The Great', iaitu Alexander yang Agung.
 

 

 

Archimedes (Jurutera dan Ahli Matematik Terkenal) (ID: 1105521155411)
 
      Pernahkah adik-adik mendengar cerita tentang kisah seorang ahli matematik berlari tanpa memakai apa-apa pakaian? Hal ini sudah tentulah memang sangat melucukan!

      Peristiwa ini berlaku pada suatu zaman dahulu. Namun, oleh sebab peristiwa ini ganjil dan melucukan, tidak hairan jika peristiwa ini menjadi kisah yang popular sampai sekarang. Ahli matematik itu bernama Archimedes. Archimedes merupakan salah seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah perkembangan ilmu matematik dan kejuruteraan di dunia.

      Beliau berbangsa Greek. Dilahirkan pada tahun 287 Sebelum Masihi. Sepanjang hayatnya, beliau ialah seorang ahli matematik dan jurutera terkenal di tanah kelahirannya itu.

      Sejarah mencatatkan terdapat satu cerita yang menarik tentang diri beliau. Pada suatu ketika, Raja Syracuse telah memberikan emas kepada seorang tukang emas. Baginda menitahkan tukang emas itu menyiapkan sebuah mahkota.

      Apabila siap, berat mahkota itu memang sama berat dengan berat emas yang diberikan oleh baginda dulu. Namun, baginda mengesyaki tukang emas itu mungkin telah menipu baginda. Tukang emas itu mungkin mencampurkan perak dan merkuri (raksa) pada mahkota tersebut.

      Oleh yang demikian, baginda menitahkan Archimedes menyelesaikan masalah itu. Sudah tentulah Archimedes bersedih hati kerana tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu.

      Setiap hari, Archimedes asyik memikirkan masalah itu. Suatu hari, semasa hendak mandi, beliau masuk ke dalam kolam mandi yang penuh dengan air. Apabila beliau masuk, sebahagian daripada air itu melimpah keluar. Kejadian itu memberikan akal kepada beliau untuk menyelesaikan jawapan tentang masalah berat mahkota tersebut.

      Oleh sebab terlalu gembira, Archimedes terus berlari ke istana sambil menjerit, "Eureka! Eureka!" (Saya sudah jumpa! Saya sudah jumpa!). Sedangkan pada ketika itu, beliau tidak berpakaian.

      Semasa hidupnya, Archimedes banyak mencipta mesin yang digunakan dalam peperangan. Banyak hasil fikiran beliau dalam bidang matematik dan sains masih digunakan sampai sekarang.

      Beliau meninggal dunia pada tahun 12 Sebelum Masihi.
 

 

Benjamin Franklin(Penemu Kuasa Elaktrik Daripada Kilat) 

Adik-adik mungkin pernah bermain layang-layang.

      Bermain layang-layang memang sangat menyeronokkan. Tetapi awas, adik-adik harus ingat, jangan sekali-kali bermain layang-layang ketika hujan!

      Jika adik-adik bermain layang-layang di dalam hujan, layang-layang itu boleh disambar oleh kilat atau petir. Kilat mempunyai kuasa elektrik yang tersangat tinggi. Kuasa elektrik ini sangat berbahaya kerana boleh mengakibatkan maut.

      Oleh yang demikian, ingatlah, jangan bermain layang-layang di dalam hujan!

      Adik-adik, pada suatu masa dulu, seorang tokoh terkenal bernama Benjamin Franklin pernah cuba melakukan suatu uji kaji yang sangat berbahaya. Beliau ingin menguji pendapatnya, sama ada betul atau salah, bahawa elektrik di awan adalah sebab utama terjadinya kilat.

      Franklin mengikat sebuah mangga kunci di hujung tali layang-layangnya. Beliau bermain layang-layang itu dalam satu hujan ribut. Ketika kilat menyambar layang-layangnya, beliau menyentuh mangga kunci tersebut.

      Akibatnya, beliau menerima kejutan elektrik apabila menyentuh mangga kunci itu. Kejutan yang diterimanya itu membuktikan pendapatnya adalah benar. Elektrik telah mengalir melalui benang layang-layangnya yang basah itu. Seterusnya, elektrik itu mengecaskan mangga kunci tersebut.

      Mujurlah, Franklin bernasib baik! Beliau terselamat. Perbuatan itu sangat berbahaya kerana boleh mengakibatkan maut. Jika tidak, Franklin sudah tentu akan mati akibat perbuatannya itu.

      Benjamin Franklin adalah orang yang pertama menemui kaitan antara kuasa elektrik dan kilat.

      Franklin dilahirkan pada tahun 1706 di Amerika. Beliau merupakan seorang ahli fikir, ahli politik, dan saintis Amerika yang sangat terkenal. Beliau meninggal dunia pada tahun 1790.

 

 

 

Ibnu Batuta (Pengembara Teragung) (ID: 1105844527220)
 
      Pernahkah adik-adik mendengar beberapa nama seperti Ferdinand Magellan, Marco Polo, Francis Drake, Ibnu Batuta, dan Hsien Tsing?

      Mereka adalah tokoh-tokoh pengembara atau penjelajah yang termasyhur di dunia. Namun, di antara semua tokoh itu, Ibnu Batuta dianggap sebagai tokoh pengembara yang teragung di dunia.

      Nama sebenar Ibnu Batuta ialah Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Lawati al-Tanji. Beliau dilahirkan pada 24 Februari 1304. Berasal dari Tangiers, Maghribi. Beliau fasih dalam ilmu undang-undang. Namun, beliau meminati dan memiliki kemahiran dalam bidang pelayaran. Malah, beliau memiliki pengalaman dalam peperangan.

      Ibnu Batuta meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1325. Hal ini demikian kerana beliau ingin mengembara ke mana-mana pelosok dunia ini. Ketika itu, beliau berusia 21 tahun.

      Sepanjang pengembaraannya, beliau berjalan kaki, menyeberangi gurun, dan melintasi lautan. Banyak tempat di dunia ini telah dikunjunginya. Antaranya ialah Alexandria, Mekah, Aden, Gaza, Jurusalem, Hammah, Aleppo, dan Damsyik.

      Beliau juga pernah sampai di Iran, Iraq, Somalia, Zaila, dan Membasa. Selain itu, beliau juga pernah tiba di Syria, Parsi, Russia, Siberia, India, China, dan Samudera-Pasai. Terlalu banyak tempat lagi yang pernah dikunjungi oleh beliau, jika hendak disebutkan satu persatu.

      Ibnu Batuta selamat kembali ke negara asalnya, Maghribi, pada tahun 1350, iaitu ketika usianya 45 tahun. Beliau menulis kisah pengembaraannya itu dalam sebuah buku berjudul 'Rihlah Ibn-Batuta'. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Belanda, dan lain-lain.

      Beliau telah menjelajah dunia ini selama 25 tahun. Jarak penjelajahannya adalah sejauh 120,000 kilometer, melalui jalan darat dan laut. Jarak penjelajahan beliau adalah lebih jauh daripada jarak penjelajahan yang dilakukan oleh Marco Polo atau mana-mana pengembara lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 1377.

      Adik-adik, itulah sebabnya Ibnu Batuta digelarkan sebagai pengembara teragung.